الساهد في سبيل لله

الساهد في سبيل لله

Friday, January 14, 2011

Asyraf Yusuf_Kota Bharu menulis

Mazhab Khawarij adalah merupakan mazhab Aqidah yang paling lama dan terawal muncul selepas Ahlul Sunnah Wal Jamaah. Bahkan kemunculan mazhab Khawarij adalah lebih dahulu daripada Syi’ah.

Kalimah Khawarij di dalam bahasa Arab : خوارج bermaksud “Mereka yang Keluar” dan hal ini daripada sudut Istilah merujuk kepada kefahaman golongan yang keluar daripada ketaatan kepada Khalifah Ali bin Abi Tolib radiallahuanhu serta menolaknya.
Ajaran Khawarij ini sebenarnya telah muncul semenjak di zaman rasulullah lagi apabila mereka ini dikenali sebagai kaum pemberontak dan penentang yang menganggap hanya mereka sahaja yang benar sedangkan orang lain semuanya salah.

Hal ini berlaku berdasarkan riwayat Abu Said Al-Khudri radiallahuanhu yang menceritakan bahawa ada seorang lelaki yang berkata kepada rasulullah sewaktu baginda membahagikan barangan kepada para sahabat supaya baginda berlaku adil. Maka ditegur oleh baginda dengan berkata : “Celakalah kamu bukankah aku ini orang yang paling bertaqwa kepada Allah ?” Maka Khalid Al-Walid ingin membunuh lelaki itu tetapi ditahan oleh Rasulullah dan baginda kemudian mengatakan bahawa daripada keturunan lelaki ini akan lahir golongan yang akan membaca Al-Quran tetapi bacaan itu tidak pun melewati kerongkong mereka dan agama ini akan terlepas daripada diri mereka seperti terlepasnya anak panah dari busurnya.

Menurut Kitab-kitab Firaq (perpecahan umat) awal kemunculan Khawarij secara rasmi ialah semasa zaman Amirul Mukminin Ali bin Abi Tolib radiallahuanhu sewaktu terjadinya Majlis Tahkim bersama dengan Muawiyah radiallahuanhu. Mereka berkumpul disuatu tempat yang disebut Harurah (sebuah kawasan di daerah Kufah) dan membantah perlaksanaan Majlis tersebut kerana menganggap ianya membelakangi Kitab Allah dan hukum Allah swt.

Namun hakikatnya itu bukanlah punca sebenar mereka keluar daripada pasukan Ali bin Abi Tolib radiallahuanhu.

Mereka juga sebelum kemunculan secara rasmi telah bertanggungjawab kepada beberapa siri fitnah dan kejahatan seperti pembunuhan Khalifah Utsman bin Affan radiallahuanhu. Setelah Utsman dibunuh, mereka kemudian bersembunyi ke dalam pasukan dan penyokong Ali bin Abi Tolib untuk mengelakkan diri mereka daripada diburu dan dibunuh balas oleh Muawiyah radiallahuanhu yang memiliki hubungan kekeluargaan dengan Khalifah Utsman bin Affan.

Pembunuh Utsman adalah tidak diketahui kerana jumlahnya ramai dan apabila Ali bertanya kepada golongan Khawarij ini siapakah yang membunuh Utsman maka ribuan manusia daripada penyokong Khawarij ini mengaku telah membunuh Utsman lalu hal itu menyebabkan Khalifah Ali bin Abi Tolib radiallahuanhu menangguhkan usaha untuk melakukan Qisos ke atas Utsman sehingga menyebabkan ketidak puasan hati di sisi Muawiyah dan juga ramai sahabat yang lain.

Akhirnya terjadilah perang siffin kerana perbezaan pendapat dan juga kerana masing-masing pasukan diapi-apikan oleh golongan munafiqin (seperti kaum Khawarij dan Abdullah bin Saba’ daripada Syiah). Kemudian masing-masing pihak mengirim utusan untuk berunding maka terjadilah perdamaian antara kedua belah pihak dan Majlis Tahkim.

Melihat hal ini orang-orang Khawarij menjadi bimbang bahawa dengan perdamaian di antara Ali dan para sahabat seperti Muawiyah akan menyebabkan mereka ditangkap dan diburu kerana telah membunuh Utsman bin Affan radiallahuanhu maka akhirnya mereka pun melarikan diri dan keluar daripada pasukan Ali bin Abi Tolib dan menubuhkan pasukan mereka sendiri untuk menyelamatkan diri.

Mereka juga kemudian membuat perancangan untuk membunuh para pemimpin Islam seperti Khalifah Ali bin Abi Tolib dan Muawiyah bin Abi Sufyan dan lain-lain sahabat radiallahuanhum tetapi hanya Ali yang berjaya di bunuh sewaktu solat subuh di masjid.
Khawarij menafsirkan Kitab Al-Quran secara zahir.

Mereka menolak tafsiran Al-Quran oleh para sahabat dan memahami Islam secara hukum zahir dan mengambil lafaz-lafaz Al-Quran secara zahir ayat. Hal ini menyebabkan mereka tersesat dan ditambah pula oleh sikap ta’asub mereka kepada diri mereka dan ibadah mereka yang tersangat banyak melebihi ibadah para sahabat menyebabkan mereka memperendahkan para sahabat rasulullah dan tidak mengambil hadis yang bertentangan dengan kefahaman dan tafsiran mereka.

Golongan Khawarij kemudian berkumpul serta berpusat di Nahrawan dan melantik Imam dan ketua perang mereka sendiri serta menubuhkan pasukan ketenteraan dan jamaah mereka dengan memiliki Imam solat, tukang azan dan mendirikan insititusi agama yang diharapkan dapat mengatasi ajaran Islam yang dikuasai oleh para sahabat rasulullah salallahualaihiwasalam.

Mereka mengkafirkan sejumlah besar para sahabat, khalifah-khalifah Islam dan umat Islam yang melakukan dosa besar serta maksiat pada pandangan mereka. Iman di sisi mereka ialah tetap dan tidak boleh berkurang dan jika berkurang pada seseorang kerana maksiat maka orang itu di sisi mereka telah menjadi kafir. Dakyah mereka sangat merbahaya sehingga mengakibatkan ramai para sahabat telah ditangkap dan dibunuh kerana pada anggapan mereka para sahabat rasulullah telah menjadi murtad disebabkan mereka tidak sefahaman dengan kepercayaan Khawarij.

Pokok seruan Khawarij ialah seperti berikut :

1) Kaum muslimin yang melakukan dosa besar adalah kafir
2) Al-Quran ditafsirkan menurut lafaz zahir
3) As-Sunnah tidak diterima sebagai hujah kerana nabi boleh tersalah dan tersilap dan para sahabat baginda tiada kelebihan bahkan kaum yang sesat
4) Pemimpin atau Imam boleh diangkat daripada sesiapa sahaja tidak semestinya daripada kaum Quraisy sebaliknya boleh jadi daripada hamba dan bahkan daripada kaum wanita.
5) Para sahabat yang terlibat di dalam perang Jamal, menerima majlis Tahkim ialah kafir.

Tokoh-tokoh utama Khawarij ialah Abdullah bin Wahhab ar-Rasyidi , Urwah bin Hudair , Mustarid bin Sa'ad , Hausarah al-Asadi , Quraib bin Maruah , Nafi' bin al-Azraq , Abdullah bin Basyir , Najdah bin Amir al-Hanafi yang mana setiap daripada mereka ini kemudian mempunyai pengikut dan menghasilkan cabang daripada ajaran Khawarij yang tambah menyesatkan dan menyeleweng daripada Islam yang lurus.

Sehingga kini sebilangan kecil Mazhab Kahwarij masih wujud di dunia Islam seperti kelompok Ibadi di Negara Oman, Zanzibar, dan Maghrib walaubagaimanapun mereka menolak untuk dikenali sebagai Khawarij.

Kesimpulannya Imam Al-Shahrastani menyatakan bahawa sesiapa yang keluar memberontak daripada Imam yang sah dilantik oleh jamaah umat Islam ialah Khawarij tidak kira apakah di zaman sahabat, tabien atau selepas mereka selama wujud Imam-imam yang sah. (Lihat : Kitab Al-Milal Wa Al-Nihal, Jilid 1, ms. 101)

Golongan salaf pula menjelaskan bahawa Khawarij ini ialah golongan yang beramal di dalam Islam menurut pendapat mereka sendiri dan mengambil ayat-ayat zahir di dalam Al-Quran tanpa merujuk kefahaman salaf soleh dan penafsiran rasulullah serta menolak hadis rasulullah dan tafsiran agama oleh para sahabat baginda.

Semoga Allah menjauhkan kita daripada mereka.

http://ustaz.blogspot.com/
Posted by Mujahidiin at 12:24 PM
perisai untuk anak_penulisan ustaz Emran Ahmad
Berikut ialah nasihat dan pedoman untuk memagari rumah dan anak-anak daripada gangguan syaitan seperti yang diajarkan oleh Al-Quran dan As-sunnah.

1. Membaca surah Al-baqarah di dalam rumah

Rasullullah bersabda:"Janganlah jadikan rumah kamu sebagai kuburan. Sesungguhnya rumah yang dibacakan padanya surah Al-Baqarah tidak akan dimasuki syaitan." (Hadis riwayat Muslim)

2. Membaca Bismillah sebelum masuk dan semasa keluar daripada rumah

3. Membaca ayat kursi kepada anak-anak sebelum tidur




{ اللَّهُ لا إِلَهَ إِلاَّ هُوَ الْحَيُّ الْقَيُّومُ لا تَأْخُذُهُ سِنَةٌ وَلا نَوْمٌ لَهُ مَا فِي السَّمَوَاتِ وَمَا فِي الأَرْضِ مَنْ ذَا الَّذِي يَشْفَعُ عِنْدَهُ إِلاَّ بِإِذْنِهِ يَعْلَمُ مَا بَيْنَ أَيْدِيهِمْ وَمَا خَلْفَهُمْ وَلا يُحِيطُونَ بِشَيْءٍ مِنْ عِلْمِهِ إِلاَّ بِمَا شَاءَ وَسِعَ كُرْسِيُّهُ السَّمَوَاتِ وَالأَرْضَ وَلا يَئُودُهُ حِفْظُهُمَا وَهُوَ الْعَلِيُّ الْعَظِيمُ }




4. Membaca doa berikut kepada anak, sambil tangan mengusap kepalanya :



اعذك بكلمات الله التامة من كل شيطان وشره



Maksudnya : “Aku mohon perlindungan untuk kamu dengan kalimah-kalimah Allah yang sempurna dan semua perbuatan syaitan dan kejahatannya.”

5. Membaca Surah Al-Ikhlas, Al-Falaq dan An-Nas kemudian sapu seluruh badan sebelum tidur

Satu hadith daripada Aishah RA, mengatakan, bahawa apabila Rasulullah صلى الله عليه وسلم berbaring di perbaringan baginda pada malam hari, baginda menyatukan kedua telapak tangan baginda lalu baginda meniup keduanya dan membacakan surah Al-Ikhlas, Al-Falaq dan An-Nas. Kemudian baginda mengusap tubuh baginda yang mampu diusap dengan kedua tangannya. Baginda mulai dari kepala, wajah, dan bahagian muka tubuhnya. Baginda melakukan hal itu tiga kali.“ (Hadith sahih Bukhari, riwayat Aishah RA)

6. Bersihkan hidung jika terjaga tengah malam

Abu Hurairah RA berkata, bahawa Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda, maksudnya: “Apabila salah seorang di antara kamu terbangun dari mimpinya, hendaklah dia melakukan membersihkan hidungnya tiga kali, kerana syaitan bermalam pada hidungnya.” (Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim)

7. Disebut dalam Sahih Muslim, diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda (maksudnya): Sesiapa yang membaca 100 kali :

لا إله إلا الله وحده لا شريك له له الملك وله الحمد وهو على كل شيء قدير



dibuat untuknya benteng sebagai pelindung dari syaitan pada hari tersebut hingga ke petang.


p/s :


Demi menjadikan amalan di atas berkesan maka terlebih dahulu orang yang mengamalkannya haruslah beriman dan melaksanakan perintah Al-Quran itu sendiri serta membersihkan diri dan ahli keluarganya daripada syirik dan maksiat kepada Allah SWT kerana tiadalah makbul doa melainkan dari jiwa yang suci daripada syirik dan derhaka kepada Allah SWT.
http://ustaz.blogspot.com/

No comments:

Post a Comment