الساهد في سبيل لله

الساهد في سبيل لله

Sunday, February 27, 2011

IMAM AHMAD BIN HANBAL

“Al-Quran bukan makhluk, al-Quran adalah kalamullah.” Tegas Imam Ahmad Hanbali, sedangkan beliau dalam keadaan dirantai dan dipaksa mengiyakan pendapat pemerintah.
Beliau tidak gentar dalam menyatakan kebenaran di hadapan pemerintah ketika itu – Khalifah al-Makmum. Khalifah al-Makmum adalah merupakan pengganti kepada Khalifah al-Amin. Beliau adalah berfahaman muktazilah, iaitu golongan yang bermazhab lebih cenderung menggunakan logik akal.
Ia meletakkan sesuatu perkara itu dengan logik akal, dan ini bersalahan dengan apa yang dipegangi oleh Ahli Sunnah Wal Jama’ah. Antara kefahaman songsang golongan muktazilah ini ialah berpendapat bahawa al-Quran adalah makhluk.
Sebenarnya pendapat songsang ini telah pun disebarluaskan ketika era pemerintahan Khalifah Harun ar-Rasyid – bapa kepada Khalifah al-Amin lagi. Namun Khalifah Harun ar-Rasyid bertegas. Beliau membanterasnya dengan bersungguh-sungguh. Bahkan pemerintah juga turut melakukan operasi penangkapan terhadap mereka yang menyebarkan idea-idea itu.
Salah seorang penyebarnya bernama Basyar al-Murisy, dia tidak tertangkap. Sempat pula melarikan diri dan bersembunyi. Dia muncul kembali setelah kematian Khalifah Harun ar-Rasyid untuk meneruskan misinya.
PENANGKAPAN IMAM AHMAD HANBALI
Bila tiba pemerintahan Khalifah al-Makmum, isu ini kembali mewarnai pentas politik pemerintah ketika itu. Imam Ahmad Hanbali atau nama sebenarnya ialah Abu Abdullah Ahmad bin Muhammad bin Hanbal bin Hilal al-Syaibani ditangkap dan dihadapkan kemuka pengadilan pemerintah – pemerintah yang menyokong kata-kata Basyar. Beliau tidak gentar. Bahkan tetap mempertahankan hujjahnya bahawa “Al-Quran itu adalah kalamullah, bukan makhluk.”
Sedangkan waktu itu, ramai ulama’ lain melarikan diri. Tidak berani menyatakan kebenaran pada pemerintah, tetapi ia berbeza dengan Imam Hanbali. Imam Ahmad Hanbali tidak pula menyertai pihak pemerintah dan bersekongkol dalam mempertahankan hujjah muktazilah, tetapi beliau rela bersendiri.
Akhirnya, dia dihadapkan kepada Khalifah, dirantai dan dipenjara.
Suatu pertemuan diadakan. Dalam pertemuan itu, turut tersedia pelbagai jenis alatan untuk menyeksa manusia. Ada pedang berkilat, ada cabuk berbisa, ada lembing terhunus. Siap mencari mangsa untuk dihukumi. Pertemuan itu bakal menentukan samaada ulama’ tersohor perintis kepada mazhab Hanbali itu akan diseksa atau terlepas derita.
Beliau ditanya, tetapi tetap tegas pada jalan kebenaran. Sedangkan dihadapannya sudah terang tanpa bersuluh siksaan yang akan dikenakan. Akhirnya, beliau dicabuk.
Pada sebatan pertama, terpacul dimulutnya kalimah “Bismillah!”
Lalu disertai sebatan kedua. Beliau lantas menyebut “La haula wala kuata illa billah”.
Dan pada sebatan yang ketiga, beliau segera membaca firman Allah bermaksud:
“Katakanlah sekali-kali tidak akan menimpa kami melainkan apa yang telah ditetapkan Allah bagi kami.”
Pukulan demi pukulan menghinggapi tubuhnya. Kesakitan tidak terperi lagi. Bukan tiga kali sebatan, tetapi mencecah hingga 29 kali beliau disebat. Bekas sebatan di tubuhnya mengalir darah dan kulit-kulit menggelupas menampakkan isi. Saat itu, tali seluar yang dipakainya terputus. Lalu seluar itu sedikit demi sedikit semakin terlondeh.
Ketika itu juga beliau merasa auratnya kian terserlah akibat seluar yang semakin menurun. Beliau mendongak ke langit. Bibirnya bergerak-gerak tanda menguntum doa pada Jalla Wa’ala. Beliau lantas berdoa agar auratnya terhijab.
Sebentar kemudian, seluarnya secara tiba-tiba naik ke tempat asal. Permohanan agar auratnya terhijab akhirnya dimakbulkan Allah Ta’ala. Subhanallah! Lihatlah, lihatlah. Bagaimana ulama’ yang berada dijalan kebenaran, pasti akan mendapat pertolongan Allah Ta’ala. Ulama’-ulama’ yang sebenar-benar ulama’, bukan boneka mahupun ulama’ suk yang kenyang dengan kebathilan.
Lalu Imam Hanbali dipenjarakan hinggalah kematian Khalifah al-Makmum. Selepas itu tampuk pemerintahan bertukar kepada Khalifah al-Muktasim. Namun saat itu Imam Ahmad Hanbali tetap hidup dalam keadaan terseksa kerana fahaman muktazilah itu masih merajalela. Bahkan Khalifah al-Muktasim juga berfahaman seiring golongan itu.
TEGAS MENYATAKAN KEBENARAN
Era pemerintahan Khalifah al-Muktasim, sekali perdebatan mengenai ‘al-Quran makhluk atau kalamullah’ dianjurkan. Kali ini beliau berdepan dengan seorang Qadhi besar bernama Qadhi Ahmad bin Ali Daud. Akan tetapi atas kebijaksaan Imam Ahmad Hanbali, beliau akhirnya berjaya menewaskan wakil kerajaan ketika itu.
Akibat merasa malu dengan kekalahan itu, pemerintah memaksa Imam Hanbali mengakui kesilapannya. Tetapi ia tidak semudah disangkakan, beliau tetap bertegas dengan hujjahnya walau berada di hadapan sesiapa pun.
Natijahnya, beliau tetap diseksa dan dipenjara. Hinggalah kematian Khalifah al-Muktasim serta Khalifah al-Watsik dan diganti pula oleh Khalifah al-Mutawakkil, barulah Imam Ahmad Hanbali dibebaskan. Khalifah al-Mutawakkil membersihkan kembali pemerintahan dari cengkaman muktazilah dan menghukum mereka-mereka yang bersekongkol.
Begitulah secebis riwayat hidup seorang Imam besar yang hebat. Tetap tegas menyatakan kebenaran walaupun berdepan dengan pemerintah yang zalim. Tidak takut, dan tidak gentar sama-sekali!
Justeru, andainya ada riwayat sirah menyatakan bahawa ulama’ hebat dahulukala menyatakan kebenaran beriringan kebathilan, sila khabarkan!
Adalah kisah ulama’ yang tertulis,
di sebalik jeriji zalim terhiris
luka yang pedih.
Dia derita disebat dusta,
tetapi teguh walau dipaksa,
meski dunia ralit mengulit najis-
kehinaan.
Dia teguh berteman yang haq,
walau tersiat dipalu maksiat,
tidak kenyang menjamah mazmumah -
kebathilan.
Kerana dia pewaris kalam Tuhan,
Bukan rela menjulang panji kejahilan.

No comments:

Post a Comment