Bukan isu baru apabila haiwan babi menjadi ancaman kesihatan kepada manusia. Dahulu, kita didedahkan dengan penemuan cacing pita (aenia solium) di dalam daging babi yang mengancam kesihatan orang yang rutinnya memakan daging babi.
Kemudian sekitar 1998-2000, negara kita gempar dengan virus maut misteri yang berasal daripada babi, dan akhirnya dikenali dengan nama ‘Japanese Encephalitis’ (JE) dan virus nipah. Lebih 100 terkorban termasuk 30 orang kanak-kanak. Sebagai langkah pencegahan, ribuan anggota tentera dikerahkan untuk untuk memusnahkan ratusan ribu babi, terutama di Bukit Pelandok, Perak.
Terkini, dunia dikejutkan dengan penularan virus berbahaya yang dinamakan Influenza A (H1N1). Atau nama Melayunya Selsema Babi. Angka kematian terkini yang disahkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) akibat wabak ini ialah seramai 72 orang daripada keseluruhan 8480 kes yang dikesan.
Wabak yang cukup mencemaskan. Memaksa sesetengah negara mengambil tindakan menghentikan kemasukan daging babi yang diimport dari luar. Di negara kita, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani menghentikan serta-merta permit baru bagi mengimport daging babi. Malah, permit import yang diberikan kepada syarikat pengimport daging haiwan itu dari negara antaranya China, Eropah, Australia dan Vietnam akan ditarik balik sekiranya wabak Influenza A merebak lebih serius.
Semua orang tahu tabiat kehidupan dan makanan babi. ia haiwan yang sangat pengotor. Menyondol dan memakan apa sahaja yang disuakan kepadanya, termasuk najis haiwan atau manusia. Tidak hairan pelbagai parasit dan cacing berbahaya terdapat pada babi. Selain itu, sistem biokimia babi mengeluarkan hanya 2% dari seluruh kandungan uric acidnya, manakala 98% sisanya tersimpan dalam tubuhnya, menjadikannya haiwan yang sangat kotor.
Sudah terang lagi bersuluh. Ajaran Islam yang diwahyukan sejak 1,400 tahun yang lalu sudah mengambil tindakan mencegah segala penyakit dan virus yang berpunca daripada haiwan babi. Islam mengharamkan umatnya memakan daging babi. Di dalam Al-Quran bukan sekali disebut keharaman daging babi. Tetapi diulangi penegasan hukum ini dalam empat ayat, iaitu Al-Baqarah: 173, Al-Maidah: 3, Al-An’am: 145, dan Al-Nahl: 115.
Di dalam Sunnah pula, Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam menyuruh berjaga-jaga dengan bekas makanan orang kafir yang digunakan untuk memasak babi. Abu Tsa’labah al-Khusyani bertanya Nabi, “Kami berjiran dengan Ahli Kitab, dan mereka memasak daging babi dalam periuk-periuk mereka, dan meminum arak di dalam bekas-bekas mereka”. Baginda menjawab, “Kalau kamu mendapati bekas-bekas lain, maka makan dan minumlah dalam bekas lain itu. Kalau kamu tidak mendapati bekas lain, basuhlah bekas-bekas itu dengan air, dan makan minumlah”. Direkod oleh Abu Daud dan Tirmizi. Kata Tirmizi, “Hadis hasan sahih’.
Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam juga pernah membuat perumpamaan untuk suatu yang haram dengan perbuatan memegang daging dan darah babi. Alangkah jelek dan kotornya perbuatan itu. Di dalam hadis Buraidah r.a, baginda bersabda, “Sesiapa bermain nardasyir (sejenis permainan), seolah-olah dia menyelupkan tangannya ke dalam daging babi dan darahnya”. Direkod oleh Muslim.
Hari ini terbukti bahawa ajaran yang diucapkan oleh Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam ribuan tahun dahulu bukan sebarangan ajaran. Ia ajarah yang penuh hikmah dan kebaikan. Ajaran yang terserlah tanda-tanda kebenaran dan kewahyuannya dari langit. Hanya mereka yang sombong dan angkuh sahaja yang degil dan memejam mata daripada menerima kebenaran
No comments:
Post a Comment